Friday, December 3, 2010

Tuah ayam nampak di kaki,tuah manusia ...

    
     Berjaya atau tidak, Rusdi ingin mencuba nasibnya. Minatnya dalam bidang penulisan tidak boleh dinafikan lagi. Ada sahaja masa terluang, dia akan mengadap laptop dan menaip sesuatu,kekadang mendongak kepalanya ke atas, mungkin mencari perkataan yang sesuai dan bagus untuk digunakan dalam penulisannya.   
     Cerpen-cerpen pendek yang telah siap dihasilkan olehnya dihantar kepada sebuah akhbar tempatan untuk diterbitkan. Kalau nasibnya baik, cerpen itu keluar, dapat juga sedikit duit poket untuknya. Alhamdulillah, ada juga rezeki.Berbaloi juga penat-lelahnya. Tidak kesemua cerpen yang dihantar tersebut diterima oleh pihak akhbar untuk diterbitkan.Namun, Rusdi tidak putus asa. Dia tetap bersemangat dengan minatnya itu.
     Semenjak adanya kemudahan dan kemahiran penggunaan internet untuk memuatkan apa-apa sahaja diketahuinya, Rusdi tidak melepaskan peluang.Sekarang, Rusdi telah mempunyai blognya sendiri. Dia tahu anak-anak muda sekarang amat berminat dengan blog tentang percintaan.  Oleh itu, dia aktif menghasilkan banyak rencana berkaitan alam percintaan dan panduan-panduan kepada anak-anak muda melalui blognya, yang diberi nama, 'Indahnya Percintaan.' 
     Hampir 6 bulan lamanya dia aktif dengan blog tersebut, dan mendapat beribu pengunjung ke blognya, terutamnaya golongan remaja, tidak kira remaja lelaki atau perempuan. Di samping itu, Rusdi juga tidak lupa menyediakan ruangan panduan percintaan berdasarkan aspek agama,agar remaja yang mengunjungi blognya mendapat manfaat daripada apa yang disampaikannya itu.
     Dari sehari ke sehari, dia juga menerima panggilan telefon daripada peminat-peminatnya. Ini membuatkan Rusdi semakin bersemangat untuk aktif menulis melalui internet.Terdapat juga antara remaja-remaja perempuan yang mengunjungi blognya, menawarkan diri untuk menjadi teman istimewanya. Bagi Rusdi, semua itu dianggap sebagai lumrah kiranya telah masyhur. Dia tidak gelojoh untuk melayan peminat-peminatnya. 
     Rusdi berpuas hati kerana minatnya dalam bidang penulisan dapat diketengahkan juga. Selain berjinak-jinak menulis cerpen melalui akhbar, Rusdi juga seronok menulis melalui blognya. Bayaran setiap kali hasil penulisannya keluar dalam akhbar disimpan sedikit demi sedikit, kerana suatu hari nanti,dia berazam untuk membuka sebuah syarikat percetakan persendirian. Dia gembira dan puas hati, kerana saban hari, pengunjung blognya semakin bertambah. Bakatnya juga boleh diasah dengan giat dan aktif sekarang. Alhamdulillah...

  

No comments:

Post a Comment