Gelisah betul hatiku hari ini. Tidak tenteram langsung. Dah bermacam cara dicuba agar tenteram semula. Mak Anjang adik perempuan ayah, iaitu emak saudaraku turut menenangkanku. Hari ini merupakan hari yang sangat bermakna bagi diriku. Rombongan dari pihak lelaki akan tiba tidak lama lagi.Dijangka tiba pada pukul 3 petang.Semua tetamu berhampiran bagi pihak keluargaku, yang dijemput oleh emak, telah tiba.Merekapun kelihatan gelisah menunggu kehadiran rombongan pihak lelaki. Beberapa orang tetamu kelihatan asyik menjenguk ke jendela, melihat,jika rombongan pihak lelaki telah tiba.
Kemudian, kedengaran bunyi tepukan kompang dengan lagu 'Selamat Pengantin Baru.'Dah tiba rupanya, berdebar-debar jantungku.Aku segera membetulkan pakaian pengantin yang dijahit sendiri oleh emak khas untukku itu.Pengantin barulah katakan. baju jahitan emak begitu cantik dan warna kuning keemasan itu amat disukai olehku.Tiba-tiba Kak Mia,yang ditugaskan oleh emak untuk mengiringiku berjalan keluar ke pelamin, masuk sambil tersenyum-senyum. Tangannya dihulurkan ke arahku.Aku memahaminya,lalu menghulurkan juga tanganku untuk dipegang oleh Kak Mia."Jalan elok-elok,jangan gopoh,"pesan Kak Mia.Dalam debaran aku mengikuti sahaja langkah Kak Mia yang sedang mengiringiku itu. 'Ya Allah,Engkau tabahkanlah hati hambaMu ini,"bisikku berdoa di dalam hati.
Ramainya tetamu, semua mata terpaku ke arahku. Menggelabah rasanya.
Dalam keadaan yang masih merah padam menahan malu, tika duduk di atas pelamin, aku sempat memerhati ke sekeliling ruang tamu rumahku. Mataku sebenarnya sedang mencari emak dan ayah. Di sudut sebelah kanan ruang tamu, kulihat wajah emak dan ayah begitu ceria menggambarkan kegembiraan mereka.
Pagi tadi, majlis pernikahan telah selamat diadakan di masjid kampungku. Dengan sekali lafaz sahaja, aku telah selamat dan sah sebagai isteri abang Marzuki. Abang Marzuki begitu ceria, sedikitpun tidak gelisah, berbeza dengan keadaanku sekarang. Maklumlah, hari ini aku bakal bersanding dengan abang Marzuki di atas pelamin yang dihias indah ini. Tempahan khas oleh emak dan ayah.
"Hei, mengelamun ni, terkenangkan siapa tu?Mesti terkenangkan abang Marzuki,kejap lagi tibalah tu,"usik adikku, Norli. Pesawat dah mendarat. Kedengaran suara merdu seorang petugas memaklumkan tentang ketibaan pesawat tersebut. Sebentar lagi, terlepaslah segala kerinduanku kepada abang Marzuki yang hampir 2 tahun meninggalkan aku, kerana menyambung pelajarannya di Jordan. Sekarang abang Marzuki pulang bercuti. Seminggu selepas majlis persandingan tempoh hari, abang Marzuki bertolak ke Jordan.Dia terpaksa menerima tawaran tersebut demi memenuhi cita-citanya.Lagipun aku sendiri yang memberi semangat dan menggalakkan abang Marzuki menerima tawaran tersebut. Aku rela tinggal bersama emak dan ayah di kampung, kerana tugasku sebagai guru di sini. Kalau diikutkan hati, ingin aku mengikut sahaja abang Marzuki ke sana, namun kerana tugas, aku terpaksa merelakan semuanya.
"Assalamualaikum sayang!"tiba-tiba kudengar suara yang aku pernah kenali, memberi salam,dan telah menyedarkan aku dari lamunan. "Suara abang Marzuki,"bisik hatiku. Aku terus menjawab salam tersebut lalu menoleh.Betullah abang Marzuki. Ceria dan segak di hadapanku. Kucium tangan abang Marzuki yang baru tiba dengan pesawat tadi. Kupeluk erat-erat dek kerinduanku bertahun lamanya. Serasakan tidak mahu lagi berpisah dengan abang Marzuki. Ku tahu, pasti hari-hari selepas ini tiada lagi kerinduan kepadanya.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjP-4RlPzbguQxwmrq34rFq1Bv2rkACXbZZgNbChzOot2Ww6PS4L74c1dIUZ1fWbLr16ydXEc_-Y6bXJaT9mrwjx_Z1qfIfUa0Eph7ypmT9nYc7tk213FPnpj82z4Pw48KNfVwwbrRdN9I/s320/28492_1258427147012_1419648615_566388_143036_n.jpg)
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjP-4RlPzbguQxwmrq34rFq1Bv2rkACXbZZgNbChzOot2Ww6PS4L74c1dIUZ1fWbLr16ydXEc_-Y6bXJaT9mrwjx_Z1qfIfUa0Eph7ypmT9nYc7tk213FPnpj82z4Pw48KNfVwwbrRdN9I/s320/28492_1258427147012_1419648615_566388_143036_n.jpg)
No comments:
Post a Comment