Tuesday, December 7, 2010

Terlerai di ambang kebahagiaan...

  
     Persahabatan yang terjalin selama 3 tahun antara Eyna dan Syazlan membuktikan bahawa mereka amat sesuai dan secocok. Ibu bapa kedua-dua belah pihak merestui perhubungan mereka. Ibu Syazlan dah sibuk bertanyakan Syazlan tentang perhubungan mereka. Namun, Syazlan hanya mendiamkan diri sahaja, tanpa sebarang jawapan untuk meyakinkan emaknya.
     Bagi Eyna pula, putih kata Syazlan, putihlah baginya.Eyna hanya menunggu jawapan daripada Syazlan.Kekadang terfikir juga bahawa Syazlan ingin mempermainkan dirinya sahaja, tidak menganggap dirinya istimewa berbanding rakan-rakan lain. Selama persahabatan mereka, Syazlan belum pernah membayangkan hajat untuk menyuntingnya, apalagi untuk membuat sebarang ikatan. 
     Tahun ketiga persahabatan mereka merupakan tahun yang penuh dugaan. Bagi Eyna,dia hanya mampu mendiamkan diri sahaja apabila disuakan pertanyaan tentang hubungan mereka. Kadang-kadang Eyna menyatakan bahawa dia berserah kepada Allah s.w.t kerana baginya,'jodoh,ajal dan maut adalah kekuasaan Allah.Semuanya ditentukan oleh Allah s.w.t. 
     Telah dua minggu Salina menjadi rakan Eyna. Keluarga Salina  baru sahaja berpindah dan tinggal berjiran dengan rumah Eyna. Ini amat menggembirakan Eyna, apalagi dia sememangnya tiada rakan yang tinggal berhampiran untuk berkongsi fikiran selama ini. Kehadiran Salina begitu menceriakan hidupnya yang selama ini kesunyian tatkala berada di rumah. Hari demi hari, Salina telah semakin berkawan rapat dengan Eyna.
     Oleh kerana terlalu rapat dan mesra berkawan dengan Salina, Eyna tidak berfikir panjang lagi untuk memperkenalkan Salina kepada Syazlan. Syazlan pula terkejut tika pertama kali Eyna memperkenalkan Salina kepadanya. Terkejut kerana kecantikan Eyna. Gadis yang diperkenalkan oleh Eyna itu terlalu cantik dan menarik hati Syazlan. Terpaku Syazlan seketika memandang Salina. Begitu elok baginya... 
     Telah dua minggu, Syazlan tidak menghubungi Eyna. Pendapat Eyna, mungkin Syazlan sibuk dengan tugas sehariannya, dan tidak dapat meluangkan masa untuk bertanyakan khabar tentang Eyna. Bila tiba minggu ketiga, Eyna tidak dapat membendung perasaan rindunya kepada Syazlan, ingin sahaja dia menghubungi Syazlan untuk bertanyakan khabar. Namun, dia bersabar, kerana itu bukan kebiasaannya,setiap kali, Syazlan yang menghubunginya terlebih dahulu.  
     Oleh kerana terlalu bosan pada hujung minggu itu, Eyna keluar bersiar-siar dan membeli-belah di sebuah pasaraya. Kebetulan hari itu, terdapat ramai pengunjung ke pasaraya tersebut. Mungkin kerana hujung bulan, mereka mendapat gaji. Pastinya banyak barang keperluan yang hendak dibeli oleh mereka. Sedang asyik memilih-milih sepasang kasut, tiba-tiba Eyna terdengar suara sedang ketawa manja. Dalam kesesakan pengunjung di situ, dia sempat berpaling dan terpandangkan Salina dengan seorang jejaka, sedang asyik berbual-bual mesra sambil berjalan. Eyna tergerak hati untuk menegur Salina, namun dia mendiamkan diri dalam keadaan terpaku kerana jejaka yang sedang berbual mesra dan bergurau dengan Salina itu ialah Syazlan, buah hatinya. Pergerakan mereka kelihatan begitu mesra, bak sepasang kekasih yang baru sahaja bersua. Eyna bergegas keluar dari pasaaraya tersebut, hajatnya untuk membeli-belah dibatalkan. Hati Eyna bagaikan dirobek-robek, terkilan, sedih dan kecewa. Dia faham mengapakah Syazlan sudah dingin untuk menghubunginya.
     Eyna sudah berfikir semasak-masaknya. Keputusan muktamad telah dibuat. Tawaran melanjutkan pelajaran ke Australia akan diterimanya. Ibu dan ayahnya tidak membantah,namun mereka syak sesuatu telah mengubah hati anak gadis mereka yang selama ini tidak mahu melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Tiba-tiba sahaja hati Eyna berubah...
     Eyna akan bertolak pagi esok. Persiapan telah dibuat. Dia tidak mahu menoleh lagi. Dia akan memberitahu berita itu kepada Syazlan, sebaik sahaja tiba di Australia kelak. Eyna tidak mahu mengganggu hidup Syazlan, biarlah dia membuat pilihan sendiri, antara Eyna dengan Salina. Biarlah dia pergi membawa hati laranya tanpa mengusik hati sesiapa jua...pergi membawa kesedihan dan kekecewaan hatinya. Semoga setibanya di sana nanti...Eyna akan menggapai sinar kebahagiaan dan ketenangan! 

No comments:

Post a Comment