Riuh-rendah kedengaran suara tetamu di luar rumah. Mungkin sibuk dengan persiapan untuk memasak bagi kenduri yang bakal diadakan esok. Sesekali diselangseli dengan gelak ketawa mereka. Terhibur hati mendengarnya. Esok akan diadakan kenduri sempena perkahwinan abang Rizal dengan kak Suri. Emak dan ayah kelihatan begitu sibuk memastikan peralatan untuk memasak esok pagi. Wajah mereka juga kelihatan ceria, maklumlah ini adalah kenduri sempena perkahwinan anak sulung mereka, iaitu abang Rizal.
Kanak-kanak kelihatan begitu riang berkejaran ke sana-sini, sesama mereka. Aku pula dengan dibantu oleh beberapa orang sepupuku, sibuk menyiapkan buah tangan yang akan diberikan oleh abang Rizal kepada tetamu yang hadir ke kenduri perkahwinannya esok. Sebiji telur, bahulu,kerepek pisang dan gula-gula yang diletakkan di dalam sebuah beg kertas yang sangat cantik. Pastinya semua tetamu yang menghadiri kenduri esok akan berasa gembira apabila kedatangan mereka kelak disambut mesra oleh tuan rumah dan pulang dengan membawa buah tangan pula daripada tuan rumah, setelah menikmati juadah yang disediakan.
Abang Rizal pula kelihatan begitu segak sekali dengan rambutnya yang baru digunting, kelihatan ceria dan sentiasa ketawa apabila diusik oleh rakan-rakannya dan juga tetamu yang hadir. Maklumlah, esok merupakan hari yang membahagiakan, hari paling penting dalam hidup abang Rizal. Abang Rizal yang sememangnya berkulit putih, kelihatan merah padam wajahnya menahan malu apabila asyik diusik oleh rakan-rakannya. Kemudian terdengar ketawa kegembiraan abang Rizal dan rakan-rakan.
Sebelah malamnya, beberapa orang saudara perempuan terdekat menyediakan pula pulut kuning untuk dipacakkan bunga telur. Abang Rizal meminta Mak Alang menyediakan telur merah, untuk dipacakkan bersama bunga telur kelak."Cantik jika telur-telur tu berwarna merah, Mak Alang,"kata abang Rizal kepada Mak Alang. "Apa sahaja hajat Rizal semua akan Mak Alang tunaikan,"beritahu Mak Alang kepada abang Rizal.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiKWdQZPIDriuri1q-3sj0AEabtB3RisSaWlxtQUjOcow1GOkD_KI9nJv6-csWCHvPfe0y_ODLmbO0j2C2hJgfOBsD62cuZS1GXWKEezR4SMa_Mm_1F0fV2P1al84zJF9QLE_5KYs9nQlY/s1600/155310_10150099481401303_178601311302_7921170_1232197_s.jpg)
"Tahniah abang Rizal, hari ni merupakan hari bahagia abang,"bisik hati kecilku. Tiada siapa yang tahu bahawa, insan ini sebenarnya sedang berduka tika para tetamu, emak,ayah dan abang Rizal kegembiraan. Panggilan telefon yang kuterima pagi tadi amat mengejutkan aku. Sengaja kudiamkan dahulu berita tersebut agar ayah,emak dan abang Rizal tidak terkejut, pada hari yang bahagia ini. Tidak tergamak untuk aku mengganggu hari yang bahagia ini dengan berita yang baru kuterima pagi tadi, berita kemalangan yang menimpa abang Din...tunanganku! Terasa inginku meninggalkan sahaja majlis tersebut, namun aku tetap bersabar. Selesai sahaja majlis itu nanti, akan kuceritakan satu-persatu kepada ayah,emak dan abang Rizal, lagipun keadaan abang Din tidak parah, menurut panggilan telefon tersebut...
No comments:
Post a Comment