Sunday, December 5, 2010
Kehidupan mewah membuatkan Fara tidak biasa dengan keperitan hidup. Hidupnya sejak kecil tidak pernah susah atau menderita, sentiasa diperoleh apa sahaja yang dikehendakinya, semua permintaan dituruti oleh mama dan papanya.
Mama dan papanya pula sentiasa sibuk dengan pekerjaan, sehingga tiada masa langsung untuk bersantai bersama-sama anak-anak. Fara cuma empat beradik sahaja, dua orang abang dan seorang kakak.Abangnya yang sulung masih lagi meneruskan pengajiannya di Australia. Abang keduanya, belajar di sebuah pusat pengajian tinggi tempatan. Sementara kakaknya sedang menduduki peperiksaan STPM. Fara pula belajar di tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya.
"Malam ni, kami dah janji untuk berkumpul di rumah Rosie, nak 'join' tak Fara," tanya Arman kepada Fara. Kebetulan ibu bapa Rosie 'out station,' cuma tinggal Mak Temah, orang gajinya sahaja. Fara serba-salah untuk menjawabnya. Kebenaran mama dan papa perlu diperolehi, tu pesanan mama kepadanya jika hendak ke mana-mana.Lagipun Fara tidak percayakan sesiapa, walaupun hidupnya sentiasa dalam kemewahan dan sentiasa peroleh apa sahaja yang diingini, namun Fara tidak mengambil peluang di atas kebebasan yang mama dan papa berikan kepadanya. Lagipun,dia sentiasa ingat dan mentaati segala pesanan ustazah Syarifah, guru agamanya. Setiap malam Isnin dan Khamis, ustazah Syarifah akan datang ke rumahnya untuk memberi ilmu agama kepada mereka. Tika itulah mereka sekeluarga dapat berkumpul di rumah.
Fara tahu,sekiranya dia menyertai rakan-rakannya, banyak perkara tak baik akan berlaku. Mereka merupakan antara golongan remaja yang sentiasa ingin bebas dari keluarga dan melakukan apa sahaja yang disukai."Walaupun mama dan papa sentiasa sibuk dengan tugas, mama inginkan anak-anak yang menghormati ibu bapa, jangan buat mama dan papa kesedihan kerana tingkah laku anak-anak, kena taat dan menuruti perintah Allah,jadikan agama Islam sebagai pegangan,insyaallah hidup kita bahagia dan mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t!,"pesan Mama berkali-kali. Masih terngiang-ngiang di telingaku kata-kata Mama.
Fara lebih seronok mengadap laptopnya di rumah dari menyertai rakan-rakannya. Dia bukan mengasingkan diri atau tidak mahu bersosial dengan rakan-rakan,namun didikan agama yang mama dan papa asuh sejak dari kecil mencelikkan hati dan matanya. Dalam kemewahan hidupnya seharian, Fara masih lagi sempat muhasabah dirinya. Dia sanggup meninggalkan dunia remajanya di luar, kerana baginya mengadap laptop dan menonton di rumah lebih menyeronokkan. Sekali-sekala dia menjenguk ke dapur, ingin sama membantu orang gajinya, walaupun berulang kali dilarang oleh orang gaji di rumahnya itu. Hidupnya bahagia sebegitu. Tidak mendatangkan kerugian apa-apapun!
Berita terbaru tentang Rosie amat mengejutkannya, Rosie telah dijumpai pitam di dalam tandas di sekolahnya. Panik seketika di sekolah. Riuh-rendah suara pelajar-pelajar, sehingga guru terpaksa mententeramkan keadaan. Semua ingin tahu apa yang telah berlaku. Setelah berusaha memulihkan Rosie, akhirnya pihak sekolah membuat keputusan bahawa Rosie terpaksa dimasukkan ke hospital, kerana masih tidak sedarkan diri.
Apa yang diduga oleh Fara betul-betul berlaku. Doktor mengesahkan bahawa Rosie telah mengandung."Dah dua bulan? Ya Allah!"keluh Fara. Kecoh di kalangan guru dan pelajar tentang berita Rosie telah mengandung.Rupa-rupanya Arman sendiri yang bertanggungjawab.Terkejut ibu bapa Rosie. Aib yang dibawa oleh Rosie tidak dapat ditutup lagi. Itulah akibat dari pergaulan bebas, tanpa menyedari batas agama dalam hidup. Tiada pegangan agama. Hidup sentiasa inginkan kebebasan, tanpa memikirkan yang buruk atau mana lebih baik perlu dilakukan. Ibu bapa pula terlalu percaya kepada anak-anak mereka. Kebebasan yang diberi oleh ibu bapa telah disalahgunakan...alhamdulillah, Fara masih anak yang solehah, menuruti dan mendengar nasihat mama dan papa!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment