Friday, December 17, 2010
Tiada lagi kerinduan...esok masih ada mentari!
Pejam celik,pejam celik, sudah hampir 20 tahun masa berlalu, namun segala kenangan manis ketika berada di kolej masih segar dalam ingatan Fara. Banyak kenangan dan pengalaman tika di kolej, membuatkan Fara begitu yakin dan bersemangat untuk terus meningkatkan prestasinya. Belajar di kolej Institut Bahasa adalah satu pengalaman yang sangat menyeronokkan bagi Fara.
Niat untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi begitu kuat dalam dirinya setelah 5 tahun berada di sekolah. Pengalaman mengajar di sekolah begitu bermakna baginya.
"Mak, saya telah menerima surat tawaran untuk masuk ke universiti, terlalu seronok, dah lama saya berhajat untuk menyambung pelajaran ke universiti,"beritahu Fara kepada emaknya. Ramai kawannya yang berbuat demikian, lagipun itulah cita-cita sebenarnya dari dahulu. "Mak tak boleh nak kata apa, Fara, keputusan di tangan Fara, mak cuma boleh memberi Fara sokongan agar teruskan niat tersebut, begitu juga ayah kamu,"jawab emak apabila mendengar berita gembira tersebut.
Fara masih rungsingkan anak-anaknya, mesti dia tak tahan merindui anak-anak nanti, lagipun suaminya masih lagi bertugas di negeri lain. "Kasihan juga nanti, mak terpaksa menjaga semua anak-anakku yang masih kecil tu," bisik Fara di dalam hati.
Setiap tahun suaminya memohon untuk bertukar balik negeri, dan setiap kali itu juga harapannya hampa.
Dah puas berusaha namun tidak berjaya. Entah bilakah mereka akan mendapat berita gembira dari pihak Kementerian Pelajaran. Semua itu adalah kerana keperluan tenaga pengajar di tempat suaminya bertugas. Berita tentang tawaran yang diterima telah diketahui terlebih dahulu oleh suaminya dan dipersetujui,kerana suaminya tahu tentang cita-cita dan semangat Fara, untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Tempoh untuk mendaftar tinggal beberapa hari lagi, Fara telah membuat pelbagai persiapan. Betapa gembira hatinya dengan tawaran tersebut. Dia dah berkhayal keadaannya tika di universiti kelak. Tiba-tiba lamunannya terganggu oleh deringan telefon bimbitnya. Dia baru sahaja menerima berita bahawa suaminya dapat bertukar balik ke negerinya sendiri. Cuma sekolah mana masih belum diketahui oleh suaminya. Berita gembira tersebut telah melenyapkan semua impian Fara, melonjak-lonjak kegembiraan, apa tidaknya bertahun-tahun di negeri lain, tiba-tiba suaminya dapat pulang ke negeri sendiri.
Niatnya untuk menyambung pelajaran dan menjejakkan kakinya ke universiti dibatalkan sahaja, tidak tidak mahu lagi bersusah-payah mengemas barang-barang yang hendak dibawa, berita yang baru diterima lebih menggembirakan hatinya...anak-anaknya tidak akan merindui ayah mereka nanti! Mereka akan berkumpul semula seperti dahulu!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment